Wednesday 6 April 2011

KESESATAN DALAM PERUBATAN


Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya melalui proses mengubati pesakit mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-


1. MELALUI MENTERA, JAMPI & SERAPAH 

Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-



a. Amalan Batin.
" Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.



b.Serapah lekat Tulang.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

c.Serapah menepung Tawar
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.



d.Mentera Menepung Tawar.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dgn berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.


2. MELALUI PERBUATAN / KELAKUAN

Kesesatan Tok Bomoh.
Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut.

Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.
Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri.
Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita.
Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w.

No comments:

Post a Comment